Demi ALLAH yang Maha Esa.. Sesungguhnya tidak disediakan jalan yang mudah untuk menuju cintaMu..menitis air mata tatkala sanubari merindui..menitis air mata tatkala semakin menjauh, tetapi janji ALLAH tetap segar & mekar..keranaku tetap yakini.. ALLAH menyatakan.. "Wajiblah cinta-Ku kepada orang-orang yang berkasih sayang kepada-Ku"
(Hasan al-Banna)
Showing posts with label Copy Paste. Show all posts
Showing posts with label Copy Paste. Show all posts

Thursday, August 2, 2012

Tidak Ikhlas & Tidak Sabar

Bismillahirrahmanirrahim..
ALLAH..ALLAH..ALLAH..
Allahumma solli 'ala Muhammad..

Tadi sedang asyik mencari gambar bertemakan SAHABAT.. Ulfah ada terjumpa sebuah artikel yang begitu bermakna. Tulisan daripada Hilal Asyraf dalam LangitIlahi.. Berkisar tentang sahabat dan (alhamdulillah) artikel ini sedikit sebanyak dalam masa tidak sampai beberapa ketika telah membantu memberi kefahaman kepada Ulfah tentang pencarian SAHABAT SEJATI..harap ia membantu kalian di luar sana..


Sahabat sejati. Ramai mencari sahabat sejati. Bertanyakan akan ciri-cirinya. Berhajat untuk mempunyainya.
Jika dilemparkan pertanyaan kepada saya: “Apakah ciri-ciri seorang sahabat sejati?”
Saya akan menjawab dengan mudah: “Dia adalah yang mengingatkan kamu kepada Allah SWT.”
Yang kalau kita pandang kepadanya, rasa kasih tertumpah. Yang kalau kita bersamanya, jiwa kita terasa lapang dan senang. Yang kalau kita bergembira dengannya, kita tidak lalai. Yang kalau kita terlupa, dia akan mengingatkan.
Namun, mencari sahabat sejati, tidak ramai yang menjumpainya.
Mengapa?
Kerana pertamanya, kita sendiri tidak berusaha menjadi sahabat sejati kepada yang lainnya.
Kita Tidak Pernah Berkorban Dengan Ikhlas.
Rasulullah SAW bersabda: “Tidak beriman seseorang kamu, hinggalah dia mencintai saudaranya, sebagaimana dia mengasihi dirinya sendiri.” Hadith Muttafaq ‘Alaih.
Hadith ini memberikan makna yang sangat tinggi kepada erti persahabatan, apabila keimanan menjadi taruhan. Tidak beriman, yakni tidak sempurna keimanan seseorang, sekiranya dia sendiri tidak mengasihi sahabatnya sebagaimana dia mengasihi dirinya. Begitulah Islam membina masyarakat yang kuat ukhuwwahnya. Mengajak agar kita mementingkan sahabat kita, dan tidak menjadi manusia yang pentingkan diri sendiri.
Namun siapakah yang menyantuni hadith ini?
Rata-rata mengharapkan sahabatnya ikhlas berkorban buatnya. Tetapi siapakah yang bergerak bersungguh-sungguh berkorban buat sahabatnya?
Dan pernahkah kita bertanya, mengapa keimanan dipertaruhkan di dalam hadith ini? Apa kena mengena iman dengan ukhuwwah?
Kerana orang yang benar ukhuwwahnya, adalah yang mempercayai janji Allah SWT dan RasulNya dalam medan ukhuwwah ini.
Ingatlah firman Allah SWT:
“Pada hari itu(akhirat) sahabat-sahabat karib, setengahnya akan menjadi musuh kepada setengahnya yang lain, kecuali orang-orang yang persahabatannya berdasarkan taqwa (iman dan amal soleh).”  Surah Az-Zukhruf ayat 67.
dan sabda Rasulullah SAW:
“Tujuh golongan yang akan dinaungi Allah pada hari tiada naungan melainkan naunganNya: ….. Dua lelaki yang kasih mengasihi kerana Allah, bertemu dan berpisah keranaNya.” Hadith Riwayat Bukhari.
Ya. Tanpa keimanan, mustahil kita akan mempercayai perkara ini.
Dan mustahil kita akan membina persahabatan kita, dengan matlamat untuk mendapatkan keredhaan Allah SWT.
Dan bila kita tidak mahu mendapatkan keredhaan Allah SWT, mustahil kita mahu menjadi sahabat yang sejati kepada sahabat kita.
Membuatkan kita tidak pernah mahu berkorban dengan ikhlas kepadanya.
Kerana kita akan sentiasa terfikir: “Apa yang dia boleh berikan kepada aku?”
Tidak Sabar Dalam Melalui Proses.
Persahabatan itu perlu proses untuk mencapai tahapnya yang cantik dan hebat.
Bukanlah selepas sehari dua perkenalan, terus asyik dan erat. Persahabatan yang tidak melalui ujian, cabaran, dan dugaan belum boleh dikatakan persahabatan yang mantap. Hatta Rasulullah SAW dan para sahabat baginda, ukhuwwah mereka sering teruji.
Mereka teruji dengan cerita yang luar akal, yang dilalui oleh Rasulullah SAW seperti Isra’ dan Mi’raj. Mereka teruji dengan kesempitan hidup, dipulau bersama Rasulullah SAW selama 3 tahun 3 bulan. Mereka teruji dengan peperangan demi peperangan, diseksa dan sebagainya, hanya kerana punya hubungan dengan Rasulullah SAW. Mereka juga dibina fikrah mereka, dengan pengisian-pengisian daripada Allah SWT dan Rasulullah SAW.
Bukannya duduk lenggang begitu sahaja, dan tiba-tiba berkata: “Aku cintakanmu Rasulullah SAW.”
Bukan. Mereka melalui ‘proses’.
Maka begitulah kita manusia dengan manusia yang lain. Mustahil terus erat ukhuwwahnya, tanpa melalui proses. Tanpa wujudnya kefahaman akan makna sebenar ukhuwwah, tanpa melalui cabaran dan dugaan bersama-sama, tanpa bermusafir bersama, tanpa berkongsi kelemahan dan kekuatan, tanpa melalui satu jangka masa. Mustahil.
Tetapi ramai antara kita ‘tidak bersabar’. Terus hendak berjumpa dengan ukhuwwah yang sejati.
Kerana itu hingga kini terus-terusan tidak menjumpai.

Penutup: Ukhuwwah Dengan Manusia, Berurusan Dengan Kelemahan Manusia.
Dan seperkara lagi yang ramai terlepas, adalah kelemahan-kelemahan yang akan muncul kala bersahabat dengan seseorang.
Semestinya, bila bersahabat dengan manusia, maka akan muncul lah kelemahan demi kelemahannya sebagai seorang manusia. Tahap keimanan manusia adalah turun dan naik. Maka begitu jugalah sahabat kita. Turun dan naik.
Ada masanya dia manis dengan kita. Dan semestinya ada masa dia akan pahit dengan kita. Ada masanya dia baik dengan kita, ada masanya dia mungkin akan kurang melayani kita. Begitulah pasang surutnya.
Kerana itu, mengharap kepada sahabat hakikatnya bukanlah satu perkara yang baik untuk diamalkan. Tetapi kitalah yang perlu menjadi harapan sahabat kita. Melengkapinya. Memenuhinya. Menjadi yang terbaik buatnya.
Sekiranya kita tidak mempersiapkan diri untuk menerima kelemahan sahabat kita, untuk membantu melengkapkan kekurangannya, sampai bila pun kita tidak akan mampu menjumpai ukhuwwah yang manis, yang mampu membawa kita ke syurgaNya.
Jadi, kita perlu sentiasa bermuhasabah.
Makna ukhuwwah ini bukan semudah mengucap uhibbukafillah.
Tetapi ia hakikatnya adalah praktis hidup yang hendak mencari redha Allah SWT.


maafkan aku..wahai sahabat 

Wednesday, November 16, 2011

Pesanan Buat Diri #2

Bismillahirrahmanirrahim...

AlhamduliLlah wa syukuriLlah~

OK dalam keSEMPATan ditengah keSEMPITan, Ulfah mahu berkongsi sedikit bahan bacaan yang ada di dalam L.A. Memang ingat nak buat CERAMAH tentang bahan ini, tapi masa tak mengizinkan. Tetap Ulfah papar di sini kerana HATI melonjak mahu kongsikan ia. Tidak tahu atas sebab apa... Moga diLURUSkan NIAT hati Ulfah. insyaALLAH.. Bagi kawan2 sem 6 IPG dot dot dot... LET'S STRIVE FOR OUR LAST PAPER FOR THIS SEMESTER!! insyaALLAH..

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
"Sesungguhnya orang mukmin akan menerima tekanan hidup kerana tidak ada satu bencana sama ada kerana terkena duri atau yang lebih besar, tidak juga ketakutan melainkan Allah akan mengangkat darjatnya satu darjat dan menghapuskan satu kesalahan dengan kesabarannya menghadapi bencana dan kesusahan tersebut."
(Riwayat al-Hakim)

Huraian :
1. Ujian adalah seiringan dengan perjuangan. Oleh itu ia tetap memerlukan bekalan iman, sabar dan istiqamah.

2. Ujian dijadikan Tuhan untuk mengukur sama ada keimanan seseorang itu kepada Allah dan seluruh ajaranNya adalah benar dan diikuti oleh perlakuan dan tindakan atau hanya terhenti setakat di mulut sahaja.

3. Umat Islam akan diuji dengan lima perkara iaitu
* saudara seagama yang sentiasa dengki terhadapnya,
* orang munafiq yang sentiasa membencinya,
* orang kafir yang sentiasa memeranginya,
* syaitan yang sentiasa berusaha menyesatkannya
* bisikan hawa nafsu yang sentiasa menggoncang keimanannya.

Semuanya ini menuntut kesabaran dan di dalamnya terdapat ganjaran pahala yang besar daripada Allah SWT.

4. Lawan bagi sabar adalah mengeluh dan ia merupakan perbuatan yang amat dilarang oleh agama kerana dengan mengeluh akan membuatkan semangat menjadi lemah dan terbitnya perasaan kecewa dan putus asa sedangkan Allah SWT berfirman dengan maksudnya:
"Sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan". (al-Insyirah:6)

5. Tanpa masalah atau ujian tidak akan wujud kematangan kerana pengalaman dalam menyelesaikan masalah adalah guru terbaik dalam menjamin kejayaan dalam kehidupan.

Setakat ini sahaja dari LA Ulfah.. moga sedikit sebanyak memberi manfaat buat diri kita bersama. 
wallahu'alam~ 
(^^,)


Tuesday, October 4, 2011

Buat Sahabat Yang Dirindui




Alihkan matamu ke arah laut
Airnya cantik memburu dan penuh ketenangan
Namun hanya ALLAH sahaja yang tahu
Rahsia di dalamnya

Begitulah kehidupan manusia
Riang...Ketawa..
Tetapi hanya ALLAH yang tahu rahsia kehidupannya

Jika kau kecewa wahai sahabat
Pandanglah ke sungai
Airnya tetap mengalir
Biar Berjuta batu menghalang

Jika kau bersedih sahabatku
Pandanglah ke langit
kau akan sedar
bahawa ALLAH
sentiasa bersamamu
mengiringi setiap langkahmu
menyusuli setiap doamu

meskipun hatiku
lukanya masih dalam
namun doaku masih yang terbaik
untukmu sentiasa
insyaALLAH





Tuesday, September 20, 2011

Sebuah Ketenangan Jiwa

Bismillahirrahmanirrahim..

Menelusuri diari aplikasi notebook dalam Laduni Asrar (LA) mengingatkan tentang 'aku' pada waktu dulu. Memikirkan bahawa masih adakah lagi  bahagian aku yang dulu itu dalam diriku? Terkadang tidak pasti.. bagaimanakah aku yang sekarang ini?

 "Ya ALLAH.. aku minta agar Kau berilah aku adik perempuan. Andai Kau bagi, aku tak kan pernah tinggalkan solat. Aku akan jadi anak yang baik."

Doa yang pernah dilafazkan sewaktu Darjah 2 semasa emakku sedang sarat mengandungkan adik bongsuku.

Tuluskan? (ceh.. cakap tentang diri sendiri pula)

Titik tumpuan yang ingin ku nyatakan disini adalah tentang jiwa seorang kanak-kanak melalui ingatan terhadap diriku sendiri satu ketika dulu. Jua dalam tersiratku jua, aku ingin nyatakan bahawa betapa aku amat menyayangi adik-adikku meskipun ada antara mereka yang tidak menyedarinya.

Berbalik kepada jiwa kanak-kanak..

nak tahu cerita tentang adik kecil ni?
tengok video dibawah ye..

Masihkah ada lagi ketulusan jiwa seperti jiwa seorang kanak-kanak dalam diri kita?
Kenapa agaknya kita ni seperti tidak boleh lagi memiliki jiwa seperti mereka?
Adakah rencah dunia yang mempunyai pelbagai ragam dan warna menjadikan hati kita makin hari makin 'keras'?
atau 
sememangnya kita tidak boleh nak elakkan daripada semua ini berlaku? [ ku biarkan anda memikirkannya sendiri]

Aduhai, bila HOBI datang melulu menyebabkan pelbagai soalan acap datang berlalu. 

Namun, ingin sekali aku kongsikan bersama teman-teman..sahabat-sahabat tentang sebuah artikel yang pernah aku baca. Berkenaan HATI. HATI tu JIWA kan? ke benda lain? Bukan  HATI dalam konteks ORGAN ye.. artikel mengenai SEBUAH KETENANGAN JIWA.

Taati ALLAH Jiwakan Jadi Tenang


MEREKA yang selalu menjalankan suruhan dan perintah Allah serta meninggalkan larangan-Nya akan terpancar pancaran keimanan pada wajahnya, malah kelihatan tenang, tenteram dan tidak ada kegelisahan di dalam diri.

Sebaliknya mereka yang jarang bersujud kepada Allah akan gelisah, bercelaru, resah dan selalu menunjukkan sikap tidak puas dengan nikmat yang Allah berikan padanya. Dalam hidup ini pasti ada dua golongan seperti di atas. Alangkah manisnya jika ketenangan dan ketenteraman jiwa dapat kita miliki.

Betapa pula gelisahnya kita jika kegoncangan dan kegawatan jiwa membelenggu diri. Ternyata jiwa kita selalu merindui kebenaran dan ketenangan, malah kedamaian dan kebahagiaan jiwa lebih bermakna daripada segala-galanya.

Untuk mencapai ke tingkat kedamaian itu hanya iman yang dapat membimbing kita. Firman Allah bermaksud:
“Orang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah. Ingatlah hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram.”

Mereka yang inginkan ketenangan jiwa mesti mendidik jiwa terlebih dulu. Jiwa dapat dididik dengan dua cara iaitu :
  1. menjauhi dosa jasmani dan
  2. menjauhi dosa rohani.
  • Untuk menjauhi dosa jasmani, hindarilah kejahatan yang terbit dari perbuatan anggota badan seperti mata, telinga, lidah, perut, kemaluan, tangan dan kaki.
Pastikan semua anggota itu terjaga daripada perbuatan maksiat. Didiklah ia agar selalu berbuat baik kepada manusia dan beribadat kepada Allah.
  • Untuk menjauhi dosa rohani pula dapat dilakukan dengan bersihkan diri daripada sifat tercela dan hiasi diri dengan sifat terpuji.
Penyakit lidah dan penyakit hati membawa manusia kepada kebinasaan. Sifat hasad, takbur, ujub, riya, bakhil, cintakan dunia, cintakan kemasyhuran, pemarah, mengumpat, mengadu domba, berdusta dan berkata sia-sia mesti dijauhi daripada diri.

Dengan sebab itu, jiwa yang tidak pernah disirami dengan roh agama akan selalu bingung dan gelisah dengan masalah yang dihadapinya.

Malah lebih terdorong untuk berbuat dosa kerana cuba menyelesaikan kegelisahan yang dihadapi dengan cara sendiri. Justeru itu, ada yang mencari dadah, arak, zina, pil khayal, bunuh diri dan pelbagai penyimpangan lagi sebagai jalan keluar daripada kecelaruan diri. Akhirnya ketenangan tidak dapat dicapai hanya dosa yang semakin menimbun.

Ternyata hanya dengan agama manusia dapat menggapai tenang dan bahagia. Masuklah ke dalam Islam secara menyeluruh agar jiwa mendapat bimbingan dan rahmat Allah.

Hidup yang dibentengi agama ketika menghadapi masalah hidup, jiwa tidak gelisah dan putus asa. Bimbinglah diri dengan sebaik-baiknya serta waspada dengan diri sendiri kerana jiwa manusia mudah terpikat dengan maksiat dan dosa.

Jika sudah terlanjur melanggar ketentuan Allah, segeralah bertaubat serta hapuskan dosa itu dengan perbuatan dan keperibadian yang baik.

Jalinkan kembali hubungan dengan Allah yang sudah lama terputus, dambakanlah selalu bimbingan dan rahmat dari-Nya, kerana Allah memiliki rasa kasih sayang yang paling agung untuk hamba-Nya yang selalu ingat kepada-Nya. Pintu rahmat Allah selalu terbuka pada sesiapa yang merindui-Nya.

Ketulusan jiwa kanak-kanak mungkin sukar kita miliki tatkala umur kian menginjak dari saat ke saat. Oleh kerana itu, KETENANGAN JIWA lah yang perlu kita sentiasa cari. Bagaimana dan dimanakah ia? Jawapannya anda sendiri tahu andai anda tidak pernah sesekali menolak KEBENARAN yang sampai kepada anda. insyaALLAH.. moga ia adalah sebenar2 KEBENARAN..


subhanaLlah~

Monday, September 19, 2011

Di Jalan Dakwah Kita Bernikah (thanks to UBS)

Bismillahirrahmanirrahim.


Segala pujian bagi Allah SWT yang memiliki seluruh isi langit dan bumi ini. Selawat dan salam buat penghulu kepada segala nabi dan rasul, Nabi Muhammad SAW.

Kebahagiaan di dunia merupakan impian semua manusia. Tidak kiralah sama ada kaum lelaki mahupun kaum perempuan. Tetapi mereka yang hanya mencari kebahagiaan di dunia semata-mata pasti akan menyesali dengan perbuatan tersebut kerana kebahagiaan yang hakiki ialah kebahagiaan di akhirat.Antara kebahagiaan yang ingin dikecapi ialah memiliki keluarga yang bahagia. Ketahuilah bahawa keluarga yang soleh dan solehah itu bermula daripada titik pertemuan antara pasangan lelaki dan perempuan yang mengikut batasan syarak.Ada di antara pasangan lelaki dan perempuan yang terpaksa bernikah akibat berlaku fitnah yang cukup hebat antara keduanya. Hakikatnya fitnah tersebut adalah berpunca daripada diri pasangan tersebut.Kadang-kadang si lelaki mengambil kesempatan untuk keluar bersama-sama dengan pasangannya, akhirnya timbul fitnah.



Kadang-kadang si perempuan yang tidak dapat menahan rindu pada pasangannya bercerita tentang perkara yang tidak sepatutnya kepada kawan-kawan di sekeliling. Akhir sekali timbul fitnah.

Saya sebenarnya tidak ingin bahas panjang tentang keadaan yang berlaku pada pasangan-pasangan yang terpaksa bernikah akibat berlaku fitnah yang cukup dahsyat antara mereka. Tetapi apa yang ingin saya bincangkan di sini ialah batasan-batasan ataupun adab-adab pergaulan bagi mereka yang inginkan keluarga bahagia di masa hadapan.Saya ingin bincangkan salah satu muamalah antara lelaki dan perempuan yang timbul keinginan untuk melansungkan pernikahan iaitu tentang bab pertunangan.

DEFINISI PERTUNANGAN

Keinginan seseorang untuk melakukan pernikahan kemudian meluahkannya kepada orang yang ingin dinikahinya.

(Perlu diingatkan bahawa, Islam mengharuskan seseorang untuk melamar

1. Perempuan dara yang masih belum dilamar orang
2. Perempuan janda yang sudah berakhir tempoh iddahnya. Perempuan janda yang saya maksudkan di sini ialah mereka yang dicerai atau kematian suami.

Terdapat beberapa jenis wanita yang dilarang untuk seseorang melamarnya iaitu
1. Perempuan yang menjadi mahram kepada si lelaki seperti kakaknya, ibunya dan lain-lain.
2. Perempuan dara yang sudah dilamar orang.
3. Perempuan janda yang masih berada dalam tempoh iddahnya.
4. Perempuan yang sudah bernikah dan suaminya masih hidup.
5. Perempuan yang sudah ditalak tiga. Perempuan ini haram dilamar kembali oleh suaminya yang menjatuhkan talak tiga kecuali setelah diceraikan oleh suaminya yang kedua dan tamat tempoh iddah.
6. Perempuan yang mempunyai pertalian darah dengan isterinya (masih hidup dan belum bercerai) seperti kakak ipar, adik ipar dan lain-lain.

Seseorang lelaki yang memiliki 4 orang isteri (poligami) diharamkan untuk melamar perempuan lain kerana lelaki hanya dibenarkan bernikah 4 sahaja pada satu-satu masa.)

******

DALIL-DALIL BERKAITAN PERTUNANGAN

قَوْله صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لِلْمُغِيرَةِ بْنِ شُعْبَةَ وَقَدْ خَطَبَ امْرَأَةً : اُنْظُرْ إلَيْهَا فَإِنَّهُ أَحْرَى أَنْ يُؤْدَمَ بَيْنَكُمَا الْمَوَدَّةُ وَالْأُلْفَةُ

Bermaksud : Sabda nabi Muhammad SAW kepada sahabat beliau iaitu Al-Mughirah bin Syu'bah ketika beliau melamar seorang perempuan "Lihatlah kepada perempuan tersebut. Sesungguhnya perbuatan itu akan menimbulkan perasaan kasih sayang dan satu hati antara kedua-duanya". Hadis diriwayatkan oleh Imam Tirmizi

إذَا أُلْقِيَ فِي قَلْبِ امْرِئٍ خِطْبَةُ امْرَأَةٍ فَلَا بَأْسَ أَنْ يَنْظُرَ إلَيْهَا

Bermaksud : Jika terlintas di hati seseorang untuk melamar perempuan, maka diharuskan untuk dia melihatnya (perempuan yang ingin dilamar). Hadis riwayat Abu Daud.


******

HUKUM-HUKUM YANG BERKAITAN DENGAN PERTUNANGAN

ADAKAH HARUS MELIHAT WAJAH WANITA YANG INGIN DINIKAHI?

Adalah sunat bagi seseorang lelaki untuk melihat wajah perempuan yang ingin dinikahinya sebelum melamar dan setelah berazam untuk bernikah walaupun tanpa mendapat keizinan daripada perempuan tersebut atau walinya. Hanya memadai dengan keizinan daripada hukum syarak.

Tetapi sekiranya tidak ada keinginan untuk bernikah, maka hukum melihat perempuan tanpa hajat adalah haram. Ini merupakan pendapat Imam Syafie Rahimahullah, Imam Ibnu Hajar Al-Haitami dan Al-Imam Ramli. Walaupun begitu lebih elok sekiranya seseorang itu meminta izin terlebih dahulu.

(Hal ini kerana sekiranya seseorang hanya dibenarkan melihat wajah perempuan setelah melamarnya, maka akan timbul kesulitan sekiranya perempuan tersebut tidak berkenan di hati. Begitu telitinya agama Islam sehingga dalam perkara sebegini sekalipun.)

Manakala Imam Maliki Rahimahullah pula berpendapat bahawa perlu mendapat keizinan perempuan tersebut untuk melihat wajahnya.

Lelaki hanya dibenarkan melihatnya sahaja tanpa menyetuh perempuan tersebut walaupun berlapik. Hukumnya adalah haram walaupun lelaki itu buta.

Agama Islam mengajar supaya si lelaki hanya berdiam diri sahaja sekiranya perempuan tersebut tidak berkenan di hati. Islam tidak menganjurkan untuk berkata "aku tidak berkenan padanya" kerana perkara tersebut akan menyakiti hati perempuan.

Agama Islam juga memberikan keharusan kepada seseorang lelaki untuk berulang kali memandang perempuan tersebut untuk mengetahui keadaan dirinya yang sebenar supaya tidak timbul penyesalan setelah bernikah. Hal ini kerana wajah seseorang wanita itu menggambarkan kecantikannya dan kedua-dua tangan perempuan itu menggambarkan kesuburan tubuhnya.

Hukum melihat ini bukan hanya disunatkan kepada lelaki sahaja bahkan ianya juga disunatkan kepada perempuan. Wanita juga berhak untuk mengetahui ciri-ciri bakal suami yang akan mengemudi bahtera hidupnya.

(Tetapi harus diingatkan bahawa, hukum melihat kepada perempuan atau kepada lelaki itu akan bertukar menjadi haram sekiranya perbuatan tersebut boleh menimbulkan fitnah. Hukumnya juga menjadi haram sekiranya pandangan tersebut merupakan pandangan syahwat walaupun selamat daripada fitnah. )

Saya harap pembaca mampu untuk membezakan antara berlakunya fitnah dan perkara yang menimbulkan syahwat.

******
ADAKAH HARUS SAYA KELUAR BERSAMA-SAMA DENGAN TUNANG SAYA UNTUK MEMBELI BARANG WALIMAH?

Tidak menjadi kesalahan bagi seseorang lelaki untuk keluar bersama-sama dengan wanita kerana ada hajat atau keperluan. Hajat yang saya maksudkan di sini ialah keperluan yang memestikan kedua-duanya keluar bersama.

Sebagai contoh seorang wanita memerlukan seorang lelaki yang dipercayai yakni thiqah untuk menemaninya keluar di waktu malam. Pada masa yang sama wanita tersebut tidak mempunyai mahram lelaki. Maka dalam perkara sedemikian dibenarkan oleh syarak.

Sekiranya barang walimah yang hendak dibeli itu memerlukan kedua-duanya keluar bersama, maka hukumnya adalah harus. Tetapi harus dipastikan bahawa perkara tersebut tidak menimbulkan fitnah.

Oleh itu, saya menyarankan supaya si lelaki tersebut supaya tidak hanya keluar dengan tunangnya sahaja tetapi keluar bersama-sama dengan mahram kepada bakal isterinya tersebut seperti bakal mertuanya, bakal abang iparnya dan lain-lain. Perkara ini boleh mengelakkan daripada berlakunya fitnah.

Harus diingatkan bahawa, godaan syaitan kepada mereka yang sudah bertunang adalah lebih dahsyat daripada mereka yang belum bertunang. Oleh itu, demi memiliki keluarga yang bahagia di masa hadapan maka kita harus berwaspada dan mengikut batasan syarak berdasarkan ilmu dan kefahaman yang dipelajari daripada para alim ulamak.

*******
BAGAIMANA FAHAMAN TENTANG "TUNANG BERMAKSUD KEIZINAN DARIPADA KEDUA-DUA BELAH KELUARGA UNTUK KELUAR BERSAMA" ?

Fahaman ini banyak berleluasa di kalangan pemuda dan pemudi. Mereka menganggap bahawa apabila sudah bertunang maka sudah diizinkan oleh keluarga untuk keluar bersama-sama.

Akad pertunangan bukanlah bermaksud akad pernikahan. Perempuan yang dilamar masih lagi ajnabi (bukan mahram) kepada si lelaki. Oleh itu haram kepada si lelaki memegang atau menyentuh kulit perempuan tersebut. Haram juga bagi lelaki tersebut memandang perempuan dengan perasaan syahwat.

Pada hakikatnya, terdapat beberapa hikmah di sebalik suruhan Islam dalam bab pertunangan. Islam menyuruh umatnya bertunang untuk memulakan hubungan ikatan antara kedua-duanya. Antara hikmah pertunangan ialah kedua-dua belah pihak keluarga saling kenal mengenal antara satu sama lain. Tetapi perkenalan ini tetap mempunyai batasan syarak.

Ada di kalangan masyarakat yang mengenepikan batasan syarak ini lalu melakukan perbuatan mengikut hawa nafsu bukan berlandaskan ilmu dan kefahaman.

Ada juga di kalangan masyarakat yang terlalu syadid sehingga mengenepikan hikmah pertunangan sebagai contoh si lelaki tidak dibenarkan melihat wajah dan mengenali keluarga si perempuan (tunangnya). Mereka menyangkakan bahawa perbuatan tersebut dipuji oleh syarak padahal inilah salah satu daripada fahaman salah yang perlu diperbetulkan.

Perhatikan Usul 'Asyrin ke-16 yang disebutkan oleh Al-Imam Hasan Al-Banna di dalam kitab Risalah Ta'lim
و العرف الـخـاطئ لا يغير حقائق الألـفـاظ الـشـرعية بل يجـب الـتأكد من حـدود الـمعـانى الـمقصود بـهـا و الـوقـوف عـنـدها كـمـا يجـب الإحـتراز من الـخداع اللفـظـى فى كل نواحى الدنـيـا و الديـن . فـالـعـبرة بـالـمـســمـيـات لا بـالأســمـاء

Bermaksud : " Kebiasaan ( u'ruf ) yang salah tidak merubah hakikat lafaz - lafaz syariat bahkan wajib dipastikan batas makna yang dimaksudkan oleh lafaz - lafaz itu dan terhenti diatas pengertian yang dimaksudkan sahaja sebagaimana jua wajib berwaspada dari tertipu dengan perkataan - perkataan dalam semua bidang , dunia dan agama . ( Iktibar berdasarkan hakikat sesuatu yang dinamakan bukan pada nama )


 sumber: Biah Solehah

ku mohon segala yang terbaik dariMu, ALLAH

Saturday, July 9, 2011

Gastrik & Ulser???

Bismillahirrahmanirrahim..
ALLAH..ALLAH..ALLAH..

Sebelum menutup tirai mata pada malam ini, sedikit perkongsian mahu diletakkan ke dalam keHIDUPan. Perkara ini seperti ada kaitan dengan aku apabila butirannya ku baca. Wallahu'alam, tidak pernah berjumpa doktor pun selama ini. Apa-apa pun, jom baca untuk mengelakkan ianya berlaku pada teman dan sahabat diluar sana.(insyaALLAH)

[[SEKADAR COPY AND PASTE DARI SINI --> Gastrik& Ulser 


TEKANAN (stress), rangsangan atau tindak balas bahan kimia daripada ubat, makanan dan jangkitan bakteria boleh menyebabkan pembengkakan di kawasan permukaan perut. Pembengkakan yang timbul akibat daripada tindak balas setempat ini menyebabkan seseorang itu mendapat gastritis atau lebih dikenali sebagai gastrik.

Perut adalah kawasan yang mengeluarkan rembesan asid yang kuat dan pepsin yang berfungsi untuk menghancur / menghazam bahan-bahan makanan. "Kadangkala asid dan pepsin ini yang sepatutnya bertindak / menghazam ke atas makanan seperti daging sebaliknya merosakkan permukaan perut dengan cara menghazamkan/mencerna permuakaan perut yang juga adalah daging. Apabila permukaan perut terhakis asid akan menembusi lapisan pertahanan perut dan mengakibatkan hakisan/kecederaan itu membesar dan akhirnya menjadi ulser," katanya.
Bagaimanapun, katanya pembengkakan permukaan perut boleh disebabkan oleh bahan kimia yang diambil dalam makanan dan kimia yang terjadi dalam tubuh manusia sendiri seperti asid regurgitasi atau hempedu .
Ubat steroid dan bukan steroid, sesetengah antibiotik dan ubat-ubat tradisional Melayu dan Cina juga boleh menyebabkan gastritis (pembengkakan perut) serta berkemungkinan terjadi gastrik.

Menurut dr Aminuddin lagi:
PUNCA GASTRIK
  • Merokok
  • Meminum minuman beralkohol
  • Jangkitan bakteria helicobacter pylori
  • Kegagalan organ tubuh seperti kegagalan buah pinggang, pernafasan, jangkitan septisemia dan pesakit tenat yang boleh mengakibatkan stress ulser.
  • Tabiat pemakanan yang tidak mengikut waktu.
  • Gaya hidup yang tertekan (stress)
  • Bahan-bahan kimia seperti ubat Non-Steroid Anti Inflammatory Drug (NSAIDs).
Setakat ini tiada bukti jelas yang mengaitkan beberapa jenis makanan sebagai penyebab terjadinya gastrik.
Namun, sesetengah makanan yang masam seperti cuka, dan beberapa jenis buah-buahan seperti nangka serta makanan pedas mungkin memburukkan lagi keadaan atau gejala gastrik yang dihidapi.

Tambah beliau lagi:
TANDA-TANDA GASTRIK
Antara tanda-tanda yang dihidapi oleh seseorang yang menghidapi gastrik ialah:
  • Terdapat pesakit yang mengalami gastritis atau hakisan perut tanpa gejala klinikal
  • Sesetengah pesakit merasakan gejal-gejala kesakitan semasa lapar dan mereka terpaksa mengambil makanan yang lebih kerap untuk mengurangkan rasa sakit tersebut
  • Pendarahan gastrousus boleh berlaku pada pesakit yang menderita masalah yang lama, malah 25 hingga 30 peratus penyebabnya ialah kerana hakisan (gastritis erosif).
Pada laman web berikut juga boleh diperolehi maklumat berkaitan penyakit gastrik::http://www.prn2.usm.my/mainsite/bulletin/kosmik/2000/kosmik5.html
Dari bahan-bahan penulisan ini bolehlah saya rumuskan penyakit gastrik atau juga dikenali sebagai gastritis sebagai:

Penyakit Gastrik / Gastritis ringan
Inflamasi (pembengkakan) pada bahagian lapisan perut yang bersentuhan dengan makanan.

Penyakit Gastrik / Gastritis berat
Berlaku kecederaan (luka) berpanjangan bahagian lapisan perut yang bersentuhan dengan makanan.

Penyakit Ulser gastrik (peptic ulcer)
Merujuk kepada ulser perut. (Ulser memberi maksud sejenis luka terbuka). Darah boleh dikesan dalam muntah atau najis. Ulser gastrik adalah abang kepada Penyakit gastrik berat.

Berikut adalah pandangan berkaitan penyakit gastrik yang diturunkan oleh arwah guru saya:

Punca Penyakit Gastrik:
Punca penyakit gastrik adalah amalan tabiat makan (minum pagi, makan tengahari dan makan malam) yang tidak mengikut waktu yang tetap. Sebagai contoh kadang-kadang makan tengahari pukul 11.00, kadang-kadang pukul 12.00, kadang-kadang pukul 1.00, kadang-kadang pukul 2.00 dan kadang-kadang bila tersangat sibuk sampai pukul 4.00 petang belum makan tengah hari. Apabila amalan ini diteruskan untuk tempuh kira-kira 5 tahun, insyaAllah Allah akan memberikan penyakit gastrik. Setelah penyakit gastrik dikesan, namun tabiat ini masih diteruskan, insyaAllah dalam tempuh 2 tahun lagi, orang ini akan mendapat penyakit yang lebih serius lagi iaitu peptic ulcer atau ulser perut.
Tempuh matang untuk penyakit gastrik ini akan dipercepatkan lagi sekiranya seseorang itu merokok, suka makan nenas, makan mee segera, jeruk kering dan basah, junk food, minum minuman bergas, makan makanan berangin seperti pisang nangka, ubi dan cempedak / nangka; makan makanan terlalu pedas, makan hingga tersangat kenyang, makan ubat doktor atau tradisional tertentu dan makan makanan yang bercuka.

Tanda-tanda penyakit gastrik:
  1. Kerap sakit kepala di bahagian kanan kepala terutama apabila perut kosong atau lewat makan nasi.
  2. Sakit kepala ini kadang-kadang diikuti dengan perasaan loya atau mual dan sebu perut dan hilang selera untuk makan. Kadang-kadang simptom ini dialami tanpa sakit kepala.
  3. Demam yang saya panggil demam gastrik apabila selalu miss makan pagi, tengahari atau malam.
  4. Muntah kadang-kadang berwarna kuning dan kadang-kadang ada darah dalam muntah atau darah beku bergumpal.
  5. Sakit perut yang kadang kala teramat sakit.
  6. Keluar angin dari mulut macam sendawa terutama apabila bahagian tertentu badan digosok atau diurut.

Rawatan penyakit gastrik:
  1. Pastikan mulai sekarang, waktu makan adalah mengikut disiplin waktu yang ketat contoh setiap hari makan tengahari pukul 1.00 tgh plus minus 15 minit.
  2. Elakkan makanan junk food, jeruk kering seperti asam boi dan jeruk basah dan juga mee segera.
  3. Elakkan nescafe, kopi, teh, minuman bergas, sunquick dalam botol, orange squash, air limau
  4. Jikalau peringkat gastrik berat, elakkan segala makanan mengandungi yeast seperti roti, donat, pau, piza dll
  5. Elakkan makan terlalu kenyang
  6. Elakkan cuka, makanan yang pedas
  7. Elakkan atau kurangkan daging dan ayam.
  8. Elakkan makanan ubi, pulut, keledek, kentang, pisang nangka, pisang tanduk, cempedak / nangka, rebung, dan makanan lain yang menyebabkan kembung perut atau banyak angin dan sendawa.
  9. Elakkan sama sekali dari mengambil sebarang ubat dari doktor dan klinik bagi rawatan gastrik seperti milk of magnesia dsb kerana ia akan merumitkan lagi gastrik.
  10. Minum susu segar atau susu tepung full cream (bukan HL atau low fat atau annelene) pada awal pagi (6.30 pagi), 10.00 pagi, 4.00 ptg dan 9.30 malam setiap hari sehingga benar-benar sembuh.
  11. Kalau sakit perut teramat sangat, muntah atau demam, ambil secekak pucuk jambu batu, rebus dengan 3 sudu ketumbar, rebus dengan 3 gelas air dan masak hingga menjadi 1 gelas. Bahagikan air ini kepada 3 bahagian, minum 1 bahagian air rebusan ini tiga kali setiap 4 jam

Wednesday, June 8, 2011

Bismillahirrahmanirrhaim..

Aku teramat mahu meletakkan kejadian atau lebih tepat realiti DUNIA KINI yang terjadi kepada pemain bola sepak PEREMPUAN negara Iran yang telah disingkirkan daripada pertandingan saringan bola sepak Olimpik 2012. Mari BACA DENGAN SEBENAR2 BACA!

AMMAN-Media massa Barat menonjolkan bagaimana air mata dan sujud para pemain bola sepak wanita Iran yang tidak bersedia mengorbankan kemuliaan mereka sebagai Muslimah ketika mengikuti pertandingan pemilihan Olimpik 2012 yang bakal diadakan di London. Pihak pengurusan Bahrain Berjaya membantah dan menggagalkan pertandingan team bolasepak wanita Iran ketika perlawanan dengan team Jordan pada Jumat 3 Jun di Amman baru-baru ini dengan alas an team dari Iran mengenakan pakaian Islam dan berjilbab. 

Setelah keputusan berat sebelah itu, para pemain Team Iran bersama-sama menyanyikan lagu kebangsaan Iran, kemudian berlari menelilingi padang sambil mengibarkan bendera Iran. Setelah itu mereka bersujud di atas bendera Iran dan meninggalkan padang dengan mata berkaca-kaca.

Keputusan pihak pengurusan Bahrain itu sangat mengecewakan apabila kedua team sudah siap masuk di padang untuk memulakan pertandingan. Namun sikap team Iran membuat para pemain Team Jordan dan juga para penonton terharu. Mereka memberi sokongan dengan bertepuk tangan mengiringi para pemain Iran ketika keluar padang. 


Peristiwa tersebut mendapat sorotan meluas dari media massa Barat termasuk BBC, New York Times, Xinhua, dan bahkan Times of India. Dalam berbagai laporan disebutkan, "Team bola sepak wanita Iran dilarang mengikuti pertandingan pemilihan Olimpik 2012 London kerana memakai pakaian Islam.""Berdasarkan ketetapan FIFA, dilarang menutupi leher dan telinga ketika bertanding, namun Persatuan Bola sepak Kebangsaan Iran menyatakan bahwa pihaknya telah mendapat persetujuan dari FIFA dua tahun lalu bahwa Team Wanita Iran itu dapat bermain dengan tetap mengenakan jilbab." Team bolasepak wanita Iran berada dalam ranking terbaru FIFA naik dua tangga dikedudukan 51 dunia.

Setelah pembatalan tersebut, team tersebut segera meninggalkan Amman menuju Teheran. Team Iran itu menduduki tangga pertama dan telah bersedia untuk memasuki babak kedua. Ketua Persatuan Kebangsaan Bolasepak Iran, Ali Kaffashian, menyatakan sangat sedih dengan peristiwa tersebut dan menyatakan, pihaknya akan merujuk hal tersebut kepada FIFA. Kaffashian menegaskan bahwa Iran sebelumnya telah mendapat persetujuan dari ketua FIFA agar para pemainwanita Iran dapat tampil dengan mengenakanpenutup kepala khas untuk menjaga nilai-nilai Islam.

SUMBER: KLIK SINI

hUH! DUNIA SUDAH TIDAK WARAS! (mahu ulas...sebentar lagi)... jom solat!



Monday, November 22, 2010

Ingatan untuk kita (duhai Muslimah)

Kepadamu Wanita
Kepada setiap muslimah yang rela Allah swt sebagai Rabbnya, Islam sebagai agamanya dan Muhammad sebagai Rasulnya.
Kepada setiap pendidik yang berjihad di jalan Allah dengan untaian kalimahnya, menjaga norma-normanya dan menyucikan jiwanya.
Kepada wanita yang bimbang dan bersedih, berbahagialah dengan dekatnya kemudahan, datangnya pertolongan Allah swt serta janji pahala yang besar dan terhapus segala dosa.
Tidak ada kecantikan bagi seorang wanita, tiada pula keindahan, harga diri dan kedudukan kecuali beriman kepada Allah swt. Apabila dirinya tegak di atas jalan ini, maka dia lah wanita yang mendapat petunjuk, diterima amalnya dan menjadi wanita pilihan disisi Rabb-Nya.
Namun, jika dia melepaskan jalan kebenaran tersebut, kafir terhadap Tuhannya, mengingkari agamanya dan melepaskan tuntutan-Nya, maka dia lah cermin kepada wanita yang murahan, hina dan terbuang.
Pada saat itulah sinar kecantikan seorang wanita mula menghilang, walau berkalung gugusan bintang di langit, meskipun bermahkota bintang gemini dan matahari terbit di keningnya.
Wahai wanita muslimah yang jujur, wahai wanita mu'minah yang selalu kembali kepada Allah.
Jadikanlah dirimu itu seperti sepohon kurma. Jauh dari keburukan, menjulang tinggi menghindar dari sifat mengangau. Dilempar dengan batu dia menjatuhkan buahnya, tetap hijau pada musim panas mahupun dingin dan memberikan manfaat kepada sekalian manusia.
Jadilah engkau orang yang menjauhi perkara-perkara yang rendah, keperibadianmu terjaga dari segala pola hidup yang menipu rasa malu. Ucapanmu adalah zikir, pandanganmu melahirkan ibrah (pengajaran), diammu adalah berfikir.
Saat itulah engkau mendapatkan ketenangan dan akan diterima oleh penduduk bumi. Tercurah segala pujian yang baik-baik, doa yang jujur dari semua makhluk, dan Allah swt akan menjauhkanmu dari awan kesempitan, bayang-bayang ketakutan, dan gumpalan kekeruhan.
Tidurlah berbantalkan curahan doa orang-orang mu'min, lalu bangunlah untuk meraih pujian yang ditujukan kepadamu. Saat itulah engkau mula menyedari bahawa kebahagiaan bukan terdapat pada simpanan harta, kad kredit dan kereta, rumah yang bagaikan istana, mahupun pada kasih nya seorang manusia, namun pada ketaatan terhadap Zat Yang Maha Terpuji. Kedamaian hidup bukan pada hiasan keduniaan, bukan pula mengabdi kepada hamba, namun kepada kepatuhan terhadap Zat Yang Maha Mulia.
Pesanku, jadilah seorang wanita yang bermaruah, yang punya kedudukan tinggi di sisi Tuhannya. Di mana namanya sentiasa disebut-sebut dalam kalangan para malaikat, dan yang berjaya memperoleh cinta yang Teragung, iaitu cintanya Ya Rabb lantas menjadi wanita yang paling bahagia di dunia.

SUMBER : ILUVISLAM



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tik Tok Tik Tok

Jom Solat ^___^

Salat times for Sri Andalas, ٤١٢٠٠ Klang, Selangor, Malaysia Taman. Muslim Prayer Times Widget by Alhabib.
Salat times for Seremban, Negeri Sembilan, Malaysia. Muslim Prayer Times Widget by Alhabib.