Demi ALLAH yang Maha Esa.. Sesungguhnya tidak disediakan jalan yang mudah untuk menuju cintaMu..menitis air mata tatkala sanubari merindui..menitis air mata tatkala semakin menjauh, tetapi janji ALLAH tetap segar & mekar..keranaku tetap yakini.. ALLAH menyatakan.. "Wajiblah cinta-Ku kepada orang-orang yang berkasih sayang kepada-Ku"
(Hasan al-Banna)

Monday, December 1, 2008

Cintaku ??? dia atau Dia?



“Maafkan aku Ain. Aku baru jer tahu tentang perkara ni.”

“Eh, maaf apa pula ni? Takpe.. aku rasa lama-lama memang perkara ni akan berlaku. Yelah, dengan cerita-cerita kau sebelum ni. Aku percayakan kau Ika.”

“Tapi..”

“Takde apa. Aku memang dah lama bersedia untuk dengar semua ini. Biar je dia. Dia dah takde apa-apa kaitan ngan aku. Dah lama kan..”

“Maafkan aku, Ain.”

Aku hanya mampu mengelengkan kepala menerusi webcam yang aku pasang. Lebih kurang hampir satu jam sebelum kami mengakhiri chat menerusi YM. Memang dah lama aku tak berbual-bual dengan Ika. Sahabat yang aku kenali semasa berada di sebuah kolej prauniversiti tempatan. Ika merupakan sahabat yang banyak membantuku dalam lebih mendekatkan diri pada-NYA dan melaluinya aku mula belajar menutup aurat dengan lebih baik. Terimbau kenangan lalu tatkala mengingati perbualan kami sebentar tadi. Dia.. Sememangnya aku merasa redha tentang apa yang telah berlaku. Dia bukan untukku.

****************************************************************************************
Cinta? Apa bendanya tu?
Adakah cinta itu sama juga dengan suka?
Kenapa ramai rakan-rakanku begitu obses dengan alam cinta tu?
Best ke kalau kita ada boyfriend atau girlfriend?
Mereka yang bercouple ni tak sayang duit ke? Selalu je beli topup handphone.

Banyak sungguh soalan-soalan yang merapu dalam otak ni. Yelah, dah hobi pun memerhati dan menganalisis orang. Kalah pysciatrist. Bila kita ada hobi macam tu, so tidak peliklah bila banyak soalan-soalan yang entah apa-apa timbul. Soalan-soalan yang amat sukar untuk menemui jawapannya. Soalan-soalan yang akan menyebabkan kita berenang ke alam yang tak pernah terbayang dek fikiran. Kalau nak tahu, segala kekusutan terlerai jua sejak sebulan yang lepas. Aku pun tak percaya apa yang berlaku. Kadangkala kepala ni bingung memikirkan. Macam mana aku boleh terjebak ni?! Dia yang bernama Aizad Iskandar adalah manusia yang telah memberiku jawapan kepada 1001 persoalan cinta dalam hidup aku dan dalam masa yang sama ‘menjebakkan’ aku ke dalamnya. Entah macam mana aku nak ceritakan pertemuan kami. Namun, aku hanya baru mengenalinya semasa kami bersama-sama secara kebetulan menyertai sebuah perkhemahan motivasi. I have no idea, why I accept him? Why I can involve in this situation? Love..


”Ain dah beritahu parents tentang kita?”
“Dah. M..dia?”
“Mestilah dah. Siap dah tunjukkan gambar Ain masa kat kem hari tu. Tapi gambar kecil je la. Mak kata, muka Ain macam dia masa muda-muda dulu.”
“Yeke. Boleh tanya sesuatu tak?
“Boleh. Apa dia?”
“Betul ke dia ikhlas ngan orang? Betul ke kita ni mengharapkan sebuah perkahwinan suatu hari nanti?
“Ain.. orang memang ikhlas dengan Ain dan sememangnya orang sangat mengharapkan agar kita dapat membina sebuah masjid yang indah”
“Tapi..”
“Tapi apa Ain?”
“Takde apa-apa”

Semakin banyak rasa belenggu wujud setiap kali berbalas mesej dengan dia. Sememangnya kami tidak pernah bertemu dalam pertemuan yang tidak sepatutnya memandangkan itu juga adalah antara ‘prasyarat’ sebelum kami ‘ada apa-apa’. Apatah lagi berbual. Segala komunikasi kami hanyalah melalui mesej. Semuanya ini dilakukan bagi mengawal diri ini dari tidak terus terjerumus ke dalam perkara yang tidak sepatutnya. Namun sejak aku banyak membaca buku-buku berkenaan cinta menurut Islam, seperti dulu banyak persoalan yang menerjah akal fikiranku yang agak lama tidak melakukan hobinya. Salah ke? Inilah merupakan perkataan-perkataan yang sering bermain-main.

Kehadirannya dalam hidup ini banyak memberi kegembiraan kepada diri. Seseorang yang mengambil berat serta bertanggungjawab. Walaupun baru dua bulan, aku sudah dapat banyak mengetahui tentang diri dia serta keluarganya. Seorang anak yang disayangi keluarga, seorang abang yang penuh tanggungjawab juga seorang rakan yang dikelilingi oleh ramai taulan. Macam tak percaya yang aku mempunyai seseorang yang amat baik. Prestasi akademiknya cukup baik. Dia sering memperolehi 3.5 pointer dan keatas. Dia juga aktif dalam sukan terutama dalam bola sepak.

Tatkala aku dan Ika mengambil angin petang seringkali aku terlihat dia sedang asyik bermain bola bersama rakan-rakannya. Tentu sekali telefon bimbitnya ditinggalkan di dalam bilik hostel. Bola.. bola.. bola. Rebut sana, rebut sini. Tendang sana, tendang sini. Kesian aku tengok bola tu. Mesti sakit dibuatnya bola tu.



“Ika, apa pendapat kau pasal aku ngan Aizad?”
“Maksud kau?”
“Salah ke apa yang aku buat ni. Maksud aku.. ‘ada apa-apa’ ngan dia. Entahlah.. sejak ‘ada apa-apa’ ni, hati aku rasa berat.. tak tahu sebab apa. Apa pendapat kau?”
“Ain, aku pun tak tahu nak cakap apa. “

Ika memalingkan wajahnya ke arah banjaran Tahan yang kelihatan cukup indah di pagi Ahad yang nyaman ini. Subhanallah, indahnya ciptaan Tuhan. Tidak sepatutnya aku tanya soalan ini kepada Ika sedangkan dia juga sedang berenang-renang didalamnya. Sebenarnya Ika terlebih dahulu merasai semua ini. Kali ini dia sedang memiliki seseorang yang bagiku hebat kerana lelaki ini pernah banyak kali menjuarai pertandingan Tilawah Al-Quran. Setakat gambaranku dia merupakan seorang yang memiliki ilmu agama yang tinggi. Ika amat bertuah kerana dia agak rapat dengan mak lelaki ini. Selalu berbalas-balas mesej dan sering juga berbual-bual dalam telefon. Cemburu aku dibuatnya kerana aku juga ingin merasai itu. Tapi aku sedar aku baru lagi ‘ada apa-apa’ dengan Aizad. Agak susah juga perkara itu berlaku ke atas diriku. Ditambahkan pula aku ini, memang jenis tak banyak mulut. Takut-takut tak tahu nak cakap apa pula kalau mak dia telefon aku.

Seingat aku, Ika pernah beritahu aku sesuatu apabila soalan tadi pertama kali aku ajukan padanya. Ika kata..

“Entahlah Ain. Aku tahu yang Hafiz tahu tu semua. Aku hanya tunggu dia yang mulakan dulu untuk bincangkan tentang hubungan kami ni..”

Ya ALLAH..berilah aku petunjuk.


****************************************************************************************

”Perasaan mencintai dan ingin dicintai adalah satu perasaan yang sentiasa ada dalam jiwa manusia. Kita tidak bolehlah nak menolak fitrah manusia yang ini. Manusia lahir atas dasar cinta. Wujudnya kita juga kerana kasih-Nya. Namun bila dipersoalkan cinta yang membawa kepada jalinan kasih sayang sebelum perkahwinan, patutkah? Patutkah cinta itu dijalin sebelum ikatan sah antara seorang lelaki dan perempuan? Sebelum saya pergi jauh, saya suka membawa persoalan ini kepada anda. Adakah kita sudah kenal dan menyintai Pencipta insan yang kita cintai itu?...”


SRruup!
Kata-kata ustaz Ahmad menyerang lubuk fikirku.


Betul ke Ain kau ikhlas memikirkan semua ini. Apa sebabnya kau nak tahu sangat apa yang kau lakukan ini betul ke salah? Teruskan aje. Cuba kau tengok orang sekeliling kau. Mereka memang sudah ‘memasang-masang’. Tengok betapa bestnya mereka dilayan. Setiap masa handphone diorang tak pernah berhenti berbunyi. Take care lah katakan. Tersenyum-senyum. Tergelak-gelak. Tak akan kau nak lepaskan semua ini? Entah-entah kau fikir semua ini sebab dia tak seperti yang lain yang suka mesej-mesej dan calling-calling tak kira masa. Bukan ke kau sendiri yang menetapkan beberapa syarat kat dia supaya tak boleh itu.. tak boleh ini.. Ain.. oh.. Ain..


“Diam kau Qarin!! Syaitan durjana! ”

Astaghfirullahal’azim.. Nasib baik tiada orang dalam bilik. Terasa hangat air mata yang mengalir di pipiku. Aku benar-benar keliru. Bingung. Sebenarnya perkara yang paling aku tak boleh terima ialah manusia yang memiliki sejarah pendidikan agama yang tinggi tetapi masih juga melayani perasaannya dengan berkasih sayang dengan jantina lawannya sebelum memiliki ikatan yang sah. Malah ada yang sanggup berdua-duaan pada waktu malam ditepi pustaka, café dan merata-rata. Lebih teruk dari mereka yang ‘biasa-biasa’ ini. Maaf, cuma memikirkan kata-kata seorang sahabat . ustaz dia telah mengeluarkan satu statement yang bagiku masih boleh lagi dipersoalkan. Ustaz dia kata,

“ Sejahat-jahat budak sekolah budak agama ialah sebaik-baik budak sekolah biasa”

Cinta sebelum ikatan perkahwinan? Salah? Tak patut? Aizad Iskandar, orang tahu dia tahu.. Malah orang rasa dia lebih mengetahuinya..

“ Ain.. Ain.. Ooo.. cikgu Ain..!”

“Ah..ye puan. Maafkan saya puan.”

“Apa sajalah yang awak termenung tu.. m.. Jadi saya nak tahu bagaimana cara kita dapat mengawal emosi kita dengan lebih baik terutama semasa menghadapi budak-budak yang nakal? “

“ Tentang tu puan, saya rasa kita perlu merujuk kepada pelajaran lepas yang puan telah terangkan. Tahap kekuatan emosi itu bergantung kepada setiap individu…”

Kelas KKE atau nama panjangnya ‘Kompetensi Kecerdasan Emosi’ yang dikendalikan oleh puan Rohani merupakan antara kuliah yang paling aku gemari. Menerusi kelas ini banyak perkara yang aku pelajari dalam mengawal emosi aku serta cara aku berfikir. Kuliah beliau sungguh menarik. Jarang sekali aku hilang fokus terhadap apa yang dia perkatakan. M.. kecuali kes tadilah. Aku pun tak tahu macam mana aku boleh teringat-ingat balik perkara lama. Mungkin ada kaitan dengan perbualan aku dengan Ika 2 minggu lepas kot. Biarlah..

Aku sendiri yang memintanya. Meminta agar perasaan bahagia yang sementara itu diputuskan. Aku ingat lagi malam tu. Semuanya berlaku di bilik Ika sebab pada waktu itu aku sememangnya tidak mampu menghadapinya sendiri. Aku perlukan sokongan. Hampir tiga jam aku berkira-kira dengan Ika mengenai hal yang bakal aku lakukan. Ini tidak termasuk waktu yang aku ambil untuk berfikir sehingga terfikir akan perkara ini. Begitu berat terasa hatiku. Adakah ini halangan yang terpaksa aku lalui? Adakah aku begitu kejam?

“Ain.. takde jalan lain ke selain apa yang Ain minta ni.. tak perlulah kita jadi macam ini Ain..”

Jauh di hujung ganggang.. Terdengar aku akan sendu sendan dari seorang manusia bernama lelaki. Ya ALLAH.. Tabahkan jiwaku..!

“ Dia.. orang harap dia faham sebab apa yang orang cakapkan tadi. Sebab-sebab yang orang minta kita putus. Kalau kita ada jodoh pasti kita akan disatukan suatu hari nanti. Andai jiwa kita sama-sama ikhlas akan perhubungan yang kita jalinkan ini, orang pasti kita akan bersama kembali.”

“ Ain dah tak suka orang lagi ke?”

“Orang harap dia faham.. Orang minta maaf sangat-sangat. Assalamualaikum..”

Tuuuttt..ttuuut.. Handphone ku matikan. Aku khuatir akan berpatah balik. Tidak! Aku tidak akan berpatah balik. Dia.. jauh disudut hati, orang benar-benar berharap agar kita akan disatukan dalam satu ikatan pernikahan yang sah suatu hari nanti. Orang harap sangat dia faham. Orang lakukan semua ini demi kebaikan kita bersama. Orang sedar ilmu orang tidak setinggi dia yang bersekolah agama yang terbaik ditempat dia. Tapi.. Maafkan orang.. Tolonglah jangan telefon orang lagi. Cukup!


****************************************************************************************

” Aku tak tahu pun yang korang still contact. Tengok-tengok Aizad ada dalam senarai kawan dalam ‘bookface’ kau. Kau tak beritahu pun. Kau ada tak bual-bual apa dengan dia?”

“ M.. Ada. Just balas-balas comments je. Tu pun pasal nak bagitahu aku belajar kat mana sekarang. Takde call pun. Dia yang add aku. Aku accept je. Tapi aku dah.. dah buang dah dia dari senarai nama”

“hah..?! Kenapa kau buat macam tu Ain? Ain, tak baik ko buat macam tu. Tak baik main-mainkan perasaan orang! Ain..!”

Ika.. aku tiada niat pun nak main-mainkan perasaan orang. Tiada niat pun.. Cuma mungkin hatiku masih menyimpan harapan. Harapan agar dia masih dalam jalan penantian. Aku cuma mahu memastikan perkara itu. Tapi Ika.. Tuhan telah menunjukkan segalanya. Sesungguhnya aku percayakan kau Ika. Aku percaya dengan segala cerita yang kau peroleh tentang dia di sana. Tempat dia belajar sekarang. Begitu mudah jalan ‘informasi’ itu untuk sampai kepada aku. Begitulah kehendak-Nya. Dia sudah ada teman istimewa. Betapa pedihnya hati aku, Ika. Sebenarnya fikiran serta hati telah cuba aku kunci untuk dari menerima manusia yang lain. Aku ingin menanti dia dalam keredhaan-Nya. Namun salah perhitungan aku!


Astaghfirullahal’azim.. Ain.. tak patut kau kata begitu. Bukan kau yang melakarkan perjalanan hidup kau. Segala-galanya telah termaktub. DIA penentunya. Percayalah segala ketetapan ALLAH ada hikmahnya. DIA Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana. Teruslah mencari redha-Nya.. Cinta-Nya.. Pasti tiada sia-sia.


“ Ya ALLAH.. KAU ampunilah segala dosa-dosaku. Aku hanya hamba-Mu yang kerdil lagi lemah. Berilah ketabahan dalam hatiku. Maafkan aku di atas kejahilan diri ini dalam menyemai cinta pada-Mu. Tunjukkanlah aku jalan yang terbaik dalam mengharungi hidup dalam dunia-Mu ini. Sesungguhnya KAU Maha Bijaksana lagi Maha Penyayang. Kurniakanlah dia yang aku perlu melebihi dari dia yang aku mahu. Ampunilah daku. Moga cintaku hanya untuk-Mu.. ya Rabb…”


..Kusangka teguh
Kiranya masih rapuh
Ku sangka mudah
Namun amat payah
Ku sedar semua pasti ada akhirnya
Moga akhirku
Diselimut cinta
Cinta agung-Nya.


p/s: rasa-rasanya ada sambungan tak? Tunggu.. ;)

No comments:

Post a Comment

Nak beritahu apa?

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...